Sabtu, 31 Januari 2009

Kehidupan Bersih - 1 - 6 ( Terjemahan )




Kehidupan yang bersih dan suci yang dimaksudkan di sini ialah kehidupan yang dilalui oleh manusia , di mana cara hidupnya bersih dan suci dari segi rohani, jasmani dan persekitarannya. Untuk mencapai tujuan tersebut selain dari yang telah disebutkan pada siri yang lepas. Manusia hendaklah menyedari bahawa sebagai orang Islam mereka wajib mematuhi atau menyedari bahawa kita tidak akan terlepas dari pemerhatian dan hukum Allah iaitu sama ada wajib,sunat,haram, mubah dan makruh. Ini bermakna manusia tidak dapat elak dari hukum Allah, setiap perbuatan yang dilakukan akan disabitkan sama ada sunat,haram,mubah,makruh atau wajib. Sebagai contoh makan>mubah, mengumpat>haram, makan makanan hasil rasuah>haram, memberi pertolongan dalam hal kebaikan>sunat.

Kesimpulannya setiap perbuatan manusia tiada yang terhenti di dunia sahaja atau akhirat sahaja, setiap perbuatan melibatkan dunia dan akhirat sebagai contoh memberi pertolongan kepada orang, menyara keluarga, menunaikan solat atau bersedekah, perbuatan tersebut dilakukan di dunia dan mendapat syorga di akhirat (dunia/akhirat). Mencuri, memberi atau menerima rasuah,memfitnah atau mengumpat, semua perbuatan ini juga berlaku di dunia tetapi menerima azab neraka di akhirat (dunia/akhirat). Tegasnya setiap perbuatan yang dilakukan di dunia ini ada ganjaran atau balasannya di akhirat nanti. Sama ada kita seorang pendidik, ahli politik, petani, peniaga,penjawat awam,nelayan atau sebagainya, oleh itu bekerjalah seolah-olah kita sedang melihat Allah atau sesungguhnya Allah sedang melihat kita. (ihsan).

Rasionalnya kita perlulah berada di dalam lengkongan persekitaran yang kehidupannya bergerak selari dan selaras dengan perintah Allah. Kiranya ini dijadikan panduan di dalam kehidupan manusia, insya Allah kita akan mencapai matlamat yang dikehendaki.

Kebelakangan ini kadang-kadang kita terfikir atau merasai seolah-olah masyarakat iblis,jin dan syaitan sedang berpesta merayakan kemenangan mereka ke atas menusia . Ini merujuk kepada peristiwa-peristiwa buruk dan jahat yang berlaku di persekitaran kita berdasarkan berita benar dan palsu yang diterima dari berbagai sumber.

Cerita mengenai anak muda berlumba motorsikal secara haram, rompakan, rogol, penagihan dadah yang semakin bertambah dan keruntuhan rumahtangga, kecurian dan seumpamanya sering dipaparkan di dada akhbar. Jika telahan ini benar bermakna laluan kehidupan yang kita lalui terdapat kekotoran dan kejahatan yang berkemungkinan bila-bila masa sahaja boleh menyusahkan kita, keadaan ini nampaknya menyarankan kita supaya mengubah pradigma yang tidak betul yang dihayati selama ini sama ada oleh anak muda atau diri kita sendiri kepada suatu cara hidup yang dianjurkan oleh Islam secara berhikmah dan bermaruah.

Kalau ada usaha insya Allah kita akan berjaya mengubah kehidupan kita yang kurang baik ini kepada kehidupan yang lebih baik lagi. Kita tidak boleh lagi hidup mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan kehidupan orang lain sebab kehidupan orang lain antaranya mengancam kehidupan kita dan ada yang membantu kehidupan kita. sebenarnya kehidupan ini sering bergantung antara satu sama lain dan mempengaruhi antara satu sama lain. Dengan itu masyarakat berkewajipan mewujudkan kehidupan yang bersih dan suci supaya semua orang dapat hidup dalam keadaan harmoni.

" Membersihkan permukaan meja yang kotor memerlukan tuala yang bersih dan suci"

wassalam.

>>> Insya Allah kita bertemu lagi <<<
_______________________________________



______________________________________


Semua manusia memerlukan bimbingan dan pendidikan, Adam dan Hawa mendapat didikan dan pertunjuk secara langsung dari Allah melalui wahyu (wahi) yang diterima baginda. Inilah panduan hidup utama mereka berdua tetapi malangnya kehidupan mereka yang sejahtera dan aman dirosakkan oleh iblis yang sombong dan ego akhlaknya. Akhirnya Adam.a.s bertaubat di atas keterlanjuran-Nya yang dipengaruhi iblis, taubat-Nya diterima Allah. Adam sebenarnya melakukan sesuatu yang dilarang di dalam syurga itu bukanlah perbuatan yang keji atau jahat kerana baginda melakukannya dalam keadaan terlupa. Inilah detik permulaan iblis merosakkan kehidupan manusia oleh itu manusia hendaklah mengambil ingatan bahawa " Iblis adalah musuh manusia yang terang dan nyata ". Iblis boleh hidup di dalam badan manusia sama ada dalam darah, daging dan angin.

Untuk menjauhi gangguan iblis manusia hendaklah sentiasa beribadat kepada Allah dan mengenal iblis itu sendiri melalui keterangan yang terdapat di dalam al.Quran dan al.Hadis. Sebelum itu sudah tentulah manusia terlebih dahulu wajib mengenal Allah ( auwaluddin makrifatullah - yang paling utama dalam agama Islam ialah mengenal Allah ). Iblis, jin dan syaitan adalah makhluk yang dijadikan oleh Allah, kuasa yang ada pada mereka sekadar kuasa yang diizinkan Allah sahaja dan mustahil mengatasi kuasa Allah. Manusia yang sukar diganggu iblis, jin dan syaitan ialah mereka yang menghayati Islam, Iman dan Ihsan di dalam kehidupan mereka sepanjang masa selari dengan denyut nadi di dalam badan mereka.


Ketika atau masa yang amat penting manusia mendapatkan pendidikan dan bimbingan ialah semasa mereka berada pada zaman kanak-kanak dan remaja tetapi unsur pendidikan sebenarnya telah diterapkan sejak janin dan bayi lagi. Pada zaman kanak-kanak dan remaja ibu bapa berkewajipan memberi pendidikan formal kepada mereka dengan cara menghantar mereka ke sekolah dan memastikan proses pendidikan terhadap anak-anak mereka berjalan dengan baik sama ada di rumah atau di sekolah. Ibu bapa juga berkewajipan memilih atau menentukan bidang pelajaran yang diikuti supaya dewasa kelak mereka mampu menjalani kehidupan yang bersih dan suci ( kehidupan yang diredai Allah ). Jika ditakdirkan mereka berjaya menjadi seorang doktor, jurutera, pendidik, ahli politik, peguam, pentadbir atau seumpamanya, masyarakat tidak bimbang lagi tentang berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan perkara buruk seumpamanya.

Untuk mencapai hasrat tersebut pihak yang berwajib hendaklah menyediakan prasarana, dasar pelajaran, kurikulum dan falsafah pendidikan yang menjurus ke arah tersebut ( untuk mereka yang bukan Islam sudah tentulah ada penyesuaian dengan menggantikan dengan nilai-nilai baik sejagat ) . >>> Semua perkara tersebut sebenarnya telah wujud di sekolah tetapi mengapakah kita gagal merealisasikannya, adakah kerana pelaksananya bercampur aduk dengan mereka yang bukan ahli dalam pendidikan atau kita hanya tumpu pada perkara kognitif sahaja - pandai menceritakan method berenang tetapi sebenarnya kita sendiri lemas bila berada di dalam air yang dalam. Sama-samalah kita fikirkan untuk membaiki keadaan dan ummah <<<. Sikap mementingkan pendidikan perlu dihayati oleh setiap ibu bapa, kerana ibu bapa adalah pemimpin rumahtangga sekiranya penghuni setiap rumahtangga menjalani kehidupan yang bersih tentulah wujud kampung, daerah, negeri dan negara yang penghuninya mempunyai akhlak yang sama, dengan itu wujudlah masyarakat yang mengamalkan kehidupan yang bersih dan suci. Masyarakat yang berakhlak mulia suara hati mereka memprotes dan menentang keburukan dan kejahatan. mereka juga menyanjungi pemimpin yang lebih baik daripada mereka khususnya dalam hal akhlak dan pendidikan. Cara inilah sahaja untuk mencapai negara yang makmur, berkat dan diampunkan Allah. ( Insya Allah bertemu lagi )


____________________________________________



______________________________________


Penjelasan dalam Kehidupan Bersih (1) dijelaskan tentang peringkat kejadian manusia (anak-anak Adam) dan seterusnya kejadian kita semua, di mana ia bermula dari kehidupan alam roh kemudian kejadian jasad dan roh di dalam kandungan ibu setelah sampai tempoh 9 bulan atau kurang kejadian tersebut dilahirkan sebagai bayi, kemudian manusia membesar menempuh berbagai zaman iaitu zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di atas muka bumi ini,menusia memerlukan pendidikan yang betul dan benar seperti yang dikehendaki Allah. Sejak dalam kandungan lagi seharusnya ibu bapa mengamalkan aktiviti yang positif dan mahmudah. di antara aktiviti atau sifat mahmudah yang dimaksudkan ialah amanah, ikhlas, makan makanan yang halal dan baik, mengamalkan makanan seimbang dan seumpamanya kerana akhlak ibu bapa mempengaruhi janin yang sedang membesar di dalam kandungan ibu.

Setiap ibu bapa bercita-cita menjadikan anak-anak mereka anak-anak yang baik dan cemerlang tetapi usaha yang dibuat ke arah itu kadang-kadang bertentangan dengan matlamatnya atau bercampur aduk dengan perkara-perkara yang akan menggagalkan matlamat, Bak kata orang tanam lalang mengharapkan hasilnya padi. Ini berlaku kerana kejahilan atau kekurangan ilmu atau mendapatkan ilmu dari sumber yang tidak tepat kerana mengabaikan al.Quran , al.Hadis d as.Sunnah, ijmak ulamak dan qias. Kehidupan yang bersih dan suci dapat diwujudkan hanya melalui pendidikan yang berteraskan al.Quran, al.Hadis, ijmak ulamak dan qias.

Apabila wujud ramai individu yang bersih maka dengan sendirinya wujud masyarakat yang bersih. Ketika itu kehidupan manusia menjadi aman dan damai. Inilah kehidupan yang dikehendaki dan dituntut oleh Allah. Sesungguhnya amat malang bagi rakyat sesebuah negara sekiranya jumlah orang jahat melebihi orang baik kerana kerosakan demi kerosakan akan berlaku, seterusnya rosaklah negara dan binasalah penghuninya. Adalah menjadi kewajipan setiap orang untuk berusaha ke arah kebaikan dan kebajikan kerana itulah sahaja cara untuk memelihara ketenteraman dan keamanan sama ada untuk kehidupan siang atau malam pada setiap masa dan sepanjang zaman.

Merujuk kepada surah Ali 'Imran ayat (104) Allah berfirman bermaksud; " Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung".

Sebenarnya saya utarakan mauduk ini semata-mata ingin menjadikannya sebagai sumber untuk kita sama-sama muhasabah diri, mungkin terdapat idea yang boleh dimanfaatkan, disamping memenuhi masa lapang saya dengan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri dan masyarakat. Sekurang kurangnya dapat menghayati sepotong ayat al.Quran yang maksudnya dinyatakan di atas.

Wassalam.
( akan bersambung pada siri akan datang )

______________________________




Dalam pertemuan ini saya ingin menjelaskan secara mendatar sahaja tentang beberapa konsep yang telah disebutkan, untuk mendapatkan secara lebih mendalam pembaca perlulah merujuk kepada kitab-kitab yang berkaitan. Ilmu membawa maksud mengetahui sesuatu sama ada secara kognitif sahaja atau melebar kepada afiktif, psikomotor, analisis, penghayatan dan lain-lain. manakala iman bermaksud percaya dengan yakin, menyebutkannya dengan lidah, melaksanakannya dengan anggota badan terhadap perintah Allah dan meninggalkan larangan- Nya.

Islam bermakna selamat (sejahtera), merujuk kepada orang Islam pula ialah mereka yang mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah. Orang Islam yang baik dan bersih ( tidak fasik, tidak munafik, tidak syirik ) semestinya mereka melaksanakan serta mematuhi semua prinsip rukun iman dan rukun Islam.

Walau pun tuntutan iman dan Islam telah disempurnakan tetapi manusia masih memiliki sifat mazmumah ( nagetif ) atau bercampuraduk antara mahmudah dam mazmumah sebenarnya kita masih ada lagi tuntutan yang perlu diamalkan dan dihayati iaitu ihsan. Apakah ihsan ?. Mengenai Ihsan Nabi Muhammad.s.a.w menjelaskan melalui sabda baginda bermaksud, " Hendaklah engkau beribadat seolah-olah engkau melihat Allah maka apabila engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihat engkau ".

Jika manusia yang beriman menyedari bahawa Allah membuat penilaian terhadap dirinya sepanjang masa sudah tentulah tidak berlaku perbuatan mazmumah (buruk) di dalam kehidupan mereka maka inilah yang dikatakan Kehidupan Bersih dan Suci. Ihsan berteraskan ikhlas. Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. (Kadang-kadang kita menggunakan perkataan "ikhlas" ini tidak kena pada tempatnya yang sewajar ). Sebagai contoh kerja yang dilakukanya adalah jenis pekerjaan yang bertentangan dengan ajaran Islam tetapi dinyatakan bahawa ianya dibuat dengan ikhlas. Jika merujuk kepada istilah syariat Islam kenyataan seperti itu tidak tepat.


Adakah kepatuhan kepada iman, Islam dan ihsan itu terjamin 100% untuk mencapai kehidupan bersih dan suci. walau apa pun manusia tetap tidak maksum seperti manusia yang dilantik menjadi nabi dan rasul. Jin, syaitan dan iblis sentiasa berusaha dan menyusup masuk ke dalam darah daging manusia serta mempengaruhi mereka supaya menjalani kehidupan yang kotor dan kufur seperti mereka. Tetapi kita masih bernasib baik kerana kaedah untuk menyelamatkan diri masih ada iaitu dengan cara sentiasa berdoa , bertawakkal serta bertaubat kepada Allah. Wassalam

(bertemu lagi pada kesempatan yang lain ).



_______________________________________________





Berjumpa lagi, maaf penjelasan saya yang telah lalu dan akan datang tidaklah sehebat mereka yang ahli dalam penulisan dan mereka yang memiliki kepakaran di dalam sesuatu bidang tertentu sebaliknya saya adalah seorang awam yang hanya bersandarkan kepada ilmu yang sedikit dan pengalaman yang telah lalu. Pada hemat saya setiap orang bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan pengalaman yang baik dan makruf kepada orang lain mengikut kaedah dan cara yang disukai masing-masing untuk menjuruskan diri sendiri dan manusia supaya mengamalkan kehidupan yang bersih dan suci di sisi Allah. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan kekotoran,kerosakan dan kejahatan di atas muka bumi ini. Untuk menjana kehidupan yang bersih tidak mungkin tercapai hanya dengan ilmu yang tinggi sahaja kerana sejak zaman dahulu sehingga sekarang kita dapati kerosakan dan kejahatan yang besar dilakukan oleh orang yang berilmu pengetahuan tinggi. Kita dapati orang berilmu juga bergaduh dengan jiran, bergaduh dengan isteri di depan anak-anak, bercakap bohong, hasad dengki, khianat, riak, sombong dan seumpamanya di mana perbuatan tersebut sepatutnya tidak berlaku pada pemilik ilmu tetapi hakikatnya berlaku berterusan sejak dahulu sehingga kini walau pun kita menguasai ilmu secara sempurna sama ada dari segi kognitif, afektif, psikomotor, penghayatan dan seumpamanya. untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di sisi Allah seperti yang telah disebutkan pada pertemuan yang lepas kita bukan sahaja memerlukan ilmu malah kita juga memerlukan Iman, Islam dan Ihsan. Empat mauduk penting ini mesti dikuasai dan disepadu serta dihadzamkan dalam diri manusia . ( bersambung pada pertemuan yang lain )



Assalamualaikum / Selamat sejahtera;

Saya memulakan ucapan kesyukuran dipanjatkan kepada Maha Pencipta sekalian alam ini dan selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad.s.a.w. Di atas keizinanNyalah juga saya dapat menulis dan meluahkan pandangan melalui laman ini, tujuan laman ini diwujdkan semata-mata untuk memenuhi masa lapang dan mengambil kesempatan untuk membuat kebaikan sekadar kemampuan samada dari segi tenaga atau ilmu pengetahuan. Diharap pembaca menerima laman ini seadanya.

_____________________________________________________


Kehidupan manusia.
Kehidupan manusia sebenarnya melalui berbagai peringkat tetapi kebanyakan daripada kita melupainya atau tidak mengetahuinya atau mempercayai mengikut agama masing-masing. Manusia dijadikan Allah bermula dengan alam roh; Alam roh adalah kehidupan
Peringkat Pertama yang dilalui oleh manusia. Pada peringkat inilah manusia, malaikat dan iblis berada dalam satu masyarakat yang mungkin boleh diistilahkan sebagai masyarakat majmuk. Perpecahan berlaku hanya setelah peristiwa Allah memerintahkan supaya malaikat dan iblis memberi penghormatan kepada Adam a.s. iblis enggan dan sombong, malaikat patuh seperti yang diperintahkan.

Ingin disebutkan di sini secara ringkas bahawa sifat manusia kombinasi sifat malaikat dan iblis iaitu dalam dirinya ada sifat baik dan jahat. malaikat bersifat baik semata-mata manakala iblis pula jahat semata-mata, ini kelihatan jelas selepas peristiwa tersebut.

Manakala
Peringkat kedua ialah berada di dalam kandungan ibu seperti yang difirmankan Allah di dalam surah al.Mukminun.


Dalam surah Al.Mukminun ayat 12 sehingga 16 Allah berfirman bermaksud,
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada suatu saripati (berasal) daripada tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburmu) di hari kiamat."

Peringkat ketiga ialah setelah manusia itu dilahirkan ke dunia ini, pada ketika ini melalui kehidupan dunia di mana mereka perlu berladang untuk kehidupan dunia dan juga wajib berladang untuk bekalan ke akhirat. Peringkat keempat, manusia dimatikan dan kembali semula ke alam roh (alam barzah / alam kubur) di sini mereka berada dalam tempoh yang tertentu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, Peringkat kelima. Peringkat ini adalah peringkat selepas berada di dalam kubur, manusia kemudiannya akan dibangkitkan dan keluar dari kubur dan menuju ke tempat yang dikenali sebagai Padang Mahsyar. Tempat inilah tempat pertimbangan dan ujian, setelah melalui ujian dan pemeriksaan Allah. Mereka yang melalui kehidupan yang bersih dan suci yang diakui Allah dan mereka yang diampunkan dosa akan ditempatkan di syorga, manakala mereka yang melalui kehidupan yang kotor dan jahat mengikut penilaian Allah akan dimasukkan ke dalam api neraka; Dua tempat inilah tempat terakhir dan kekal selama-lamanya.

Bagi mereka yang beriman kepada Allah tetapi melakukan dosa dan tidak diampunkan akan berada di dalam neraka sekadar dosanya sahaja, kemudian akan dikeluarkan dan ditempatkan pula di syorga buat selama-lamanya. Berlainan situasi mereka yang kafir atau syirik dengan Allah semasa di dunia sepanjang hidupnya akan kekal menerima siksaan di neraka. Sama juga bagi mereka yang murtad atau kafir di akhir ayat sehingga ke saat kematiannya.

Untuk mendapatkan penyudah yang baik manusia perlu menjalani kehidupan yang suci dan bersih. tanpa ilmu manusia tidak akan selamat. Ilmu sahaja tidak mencukupi kerana ilmu itu sangat umum sifatnya sama ada ilmu dunia atau akhirat.

Ilmu yang dimaksudkan di sini ialah ilmu yang mencakup kehidupan dunia dan akhirat yang sejahtera ( bukan ilmu yang membawa keburukan di dunia atau di akhirat ). Manusia sebenarnya memerlukan Islam, Iman dan Ihsan untuk mencapai kehidupan yang bersih dan suci di sisi Allah.

Untuk membina keluarga dan masyarakat berkualiti seharusnya bermula sejak anak berada di dalam kandungan iaitu sejak janin lagi. ketika ini ibu yang hamil dan bapa juga perlu mengambil berat tentang janin tersebut khasnya mengenai pemakanan ibu yang memberi kesan kepada janin di dalam kandungan dan mereka suami isteri pula hendaklah sentiasa berakhlak mulia kerana tingkah laku mereka mempengaruhi anak mereka yang masih di dalam kandungan.

Ibu bapa hendaklah menambahkan pengetahuan mereka terutamanya mengenai pemakanan bayi mereka. Memahami dan mengetahui pemakanan seimbang adalah penting untuk membentuk atau membina keluarga yang berkualiti, disamping memiliki pengetahuan mengenai kesihatan dan ilmu pendidikan. Ajaran Islam adalah teras yang sentiasa bersepadu dalam semua hal supaya kehidupan kita berada di landasan yang betul dan benar.

Wallahu aklam ( Allah Maha Mengetahui ).

Wassalam.

Shah Alam 2008
19.07.2008



Tiada ulasan:

Catat Ulasan