Ahad, 14 Ogos 2011

Terkenang masa dahulu (puisi)

Terkenang masa dahulu.

Hari itu Aku bak menteri sehari.
lagu sekolah, lagu negeri , lagu kebangsaan.
Doa berkumandang diudara.
...Tangan diangkat, mohon dimakbulkan.

Khamis - 05-05-05.
Hari ini, Hari Istimewa.
Pengacara mewar-warkan kepada seluruh warga.
Di majlis perhimpunan tempat biasaku.
Warga dewasa di atas pentas.
Kerusi diatursusun indah.
Sebuah meja penuh hadiah kenangan.
Anak muda di bawah pasang telinga mendengar madah.

Tukang ucap pertama dan kedua.
Ucapkan terima kasih padaku.
memuji-mujiku memaniskan adab majlis.
Umpama menteri menunggu suatu perasmian.
Ucapan bagaikan mewakili semua tempat.
Semua tempat yang pernah Aku bertugas.

Aku dijemput untuk berucap.
Sangat banyak cerita dan pesanan yang hendak kusampaikan.
Aku keliru ketika memilih.
Lantas Aku tidak memilih, kuucapkan apa yang diilhamkan.
Sekali sekala Aku sebak kerana mainan kenangan.
Aku rasa banyak lagi kuperlu laksanakan.
Kurasa masa masih panjang untukku.
Rupanya saat itu Aku berada digarisan penamat.
Masa berlalu tetap berlalu dan pergi.
Masa tidak sedikitpun menaruh kasihan padaku.
Kumemohon maaf pada Allah dan pada semua hamba-Nya.
Dengan merendahkan diri Aku akhiri kalam majlis.
Aku undur dan duduk semula.

Aku dijemput terima hadiah-hadiah.
Berbungkus, berbongkah, berkotak dan berbagai.
Tiada bahasa yang boleh kuucap.
Hanya bersyukur dan berterima kasih.
Sebuah Van disediakan.
Hadiah dihantar sampai ke ruang tamu.

Aku bergerak pulang melalui laluan lazim.
Kiri kanan laluan dipenuhi anak muda.
Melambai, senyum, sebak, syahdu dan segala.
Sukar diucapkan melalui bahasa harian.

Sebelum itu,
Aku diminta menyudahkan mercu tanda Taman Hidayah.
Taman Hidayah pemanis surau SMKTAR.
Hari itu Aku bak menteri sehari.
Sebuah kereta menunggu untuk Aku naiki.
Aku diminta duduk di bahagian belakang.
Setelah lambaian terakhir, kereta pun bergerak perlahan.
Bergerak perlahan keluar pintu pagar sekolah.
Tanpa ragu-ragu pemandu terus memacunya.
Memacu ke arah Bandar Sungai Petani.

Itu adalah penilaian dan penghargaan manusia.
Antara realiti, hakiki dan lakonan.
Penilaian Allah masih kabur, Penilaian hakiki belum pasti.
Hanya berdoa dan berharap akan keredaan-Nya.

Sekian, Wassalam.