Ahad, 20 Jun 2010

Persinggahan Baruku.(puisi)

Salam semua.

Persinggahan Baruku.

Di pagi yang masih sunyi sepi.
aku terjaga tidur.
sedetik kemudian aku disambut suara keramat bertalu-talu.
suaranya berkumandang di udara,
beralun di dalam gelumbang maya.
bertali arus, sahut menyahut.

Kemerduannya tidak dapat direka manusia.
keindahannya sukar hendak ditiru.
Alhamdulillah Persinggahan Baruku masih menyamai tempat asalku.
takungan air sawah menggemakan suara ke seluruh pelusuk desa.
kini air Tasik Seksyen Tujuh menggemakan suara itu sampai ke kamarku.

kang kikang kuut, kang kikaaang kuuuuuut,
dari arah mana aku tidak pasti,
bila aku periksa,
aku lihat hanya hutan tropika,
aku lihat hanya hutan kelapa sawit,
yang aku lihat hanya hutan batu bata.
semuanya itu tidak menghalang suara itu berdendang di telingaku.

Itulah suara keramat yang mengejutkan tidur lenaku dikala leka.
menandakan Subuh hampir tiba.
Peringatan itu tidak pernah mungkir.
sejak zaman berzaman mereka tidak jemu memberi peringatan.

sebaik sahaja aku beralih badan.
kedengaran pula dari arah tasik;
Allaahu akbar, Allaaahu akbar, Allaaaahu akbar, Allaaaaaaahu akbar.

Tidak ubah seperti semua persinggahanku yang terdahulu.
Bersyukur kepada Allah kerana masih mengekalkan kesinambungannya.
Juga bersyukur kepada-Nya kerana memberi peluang itu padaku.
maka bolehlah aku menghayatinya bersama mereka.
Bersama mereka yang memanggil-manggil dan mengajak- ngajak untuk bersatu dan berjamaah.


01 Rejab 1431.
14 Jun 2010.