Isnin, 4 Mei 2009

Niat sekadar lintasan di hati

Gambar hiasan.


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ

Santai Sihat pada pertemuan kali ini ingin berkongsi pandangan dengan anda mengenai niat. Terdapat juga di kalangan kita yang bermasalah mengenai niat ini, terutamanya niat ketika bersolat.
Apakah niat itu sebenarnya, bukankah niat itu hanya lintasan di hati, sebagai contoh sedang kita membuat sesuatu kerja atau tugasan tiba-tiba kita teringat atau terasa ingin minum teh tarik, lantas kita bangun dan pergi ke kantin dan memesan teh tarik, setelah disediakan kita pun terus minum. Bilakah berlaku niatnya dan di manakah berlakunya niat tersebut. Jawapannya tentulah semasa kita sedang membuat kerja atau tugasan tadi dan keadaan itu berlaku sehingga terhasil minum teh tarik tersebut.

Adakah dalam niat hendak minum teh tarik tadi berlaku kata-kata di dalam hati, di mana kata-kata itu tersusun rapi di dalam suatu ayat yang lengkap. Jawapannya tentulah tidak. Ini bermakna niat itu bukanlahlah kata-kata di dalam hati yang mana pelaksanaannya memerlukan masa yang panjang.

Kita sering melihat sesetengah orang melakukan takbiratul ihram beberapa kali ketika bersolat, kenapa jadi begitu sedangkan niat itu hanya mengambil masa sedetik sahaja seperti berniat untuk minum tadi. Walaupun niat ini mengambil masa yang sangat sedikit atau hanya lintasan di hati tetapi ianya merupakan roh kepada sesuatu ibadat. jika sesuatu pekerjaan dibuat tanpa berniat kerana Allah maka pekerjaan itu tidaklah menjadi ibadat.
Pekerjaan yang halal dan baik akan hanya menjadi ibadat sekiranya diniatkan kerana Allah Taala, disamping mematuhi syarat-syaratnya yang lain.

Hadith daripada `Umar r.a. yang berkaitan dengan hijrah, persoalan niat turut ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dengan sabda baginda "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)

Bagaimanakah hendak menyelesaikan masalah takbiratul ihram di dalam solat supaya tidak dibuat berulangkali. Kita semua sedia maklum bahawa di dalam takbir tersebut perlu dimuatkan dengan niat solat, kalau tidak dibuat demikian solat akan rosak atau tidak sah.

Di sini ada dua pesanan untuk memudahkan niat semasa takbiratul ihram tersebut.
(1) Semasa kita telah berdiri betul di tempat solat kita hendaklah menghadirkan diri untuk bersolat ( jasmani dan rohani ). Ini bermakna kita berpesan pada diri sendiri bahawa kita hendak menunaikan solat (fokus kepada solat) dan lupakan perkara lain yang berlaku sebelumnya, jangan biarkan fikiran melayang-layamng tidak tentu arah.

(2) Sebelum mengangkat tangan untuk takbiratul ihram kita hendaklah bayangkan terlebih dahulu lafaz niat itu di dalam bahasa kita ( Contoh: Sahaja aku bersolat fardu Maghrib tiga rakaat kerana Allah Taala ), sebaik sahaja kita melakukan takbiratul ihram maka lintaskan sahaja kata-kata atau lafaz niat tersebut.

(3) Lintasan utama di dalam niat ialah qasad, ta'arad dan ta'ayin ( sebagai contoh Sahaja aku bersolat - Fardu - Maghrib).

( Bukan kata-kata di dalam hati yang memakan masa yang lama )

_________________________________________________

Niat itu hanya lintasan di hati

____________________________


Sekian. Wallahu aklam. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan